“Guru di Dusun Sunyi”
(Lampu malap. Cahaya kuning temaram. Tok Muda duduk di atas bangku kayu tua, bersarung, bertanjak lusuh, memandang ke hadapan. Di tangan, sehelai kitab lama dan tasbih kayu. Nada perlahan dan penuh emosi.)
TOK MUDA (perlahan):
Aku berjalan jauh…
bukan kerana harta…
bukan mengejar dunia…
Tapi kerana satu niat —
mencari Tuhan, melalui ilmu-Nya.
Ke mana aku melangkah,
aku cari guru.
Masuk pekan, turun paya,
panjat bukit, redah belukar,
lintas laut, menyusur desa.
Berapa ribu ringgit pun… aku habiskan.
Kerana ilmu, bukan murah —
kerana syurga itu mahal.
(Tok Muda bangun, melangkah perlahan. Suaranya mula bergetar.)
Dan satu hari…
aku temui dia.
Di hujung dusun yang sunyi.
Teratak kayu berdinding bata,
tersembunyi dalam semak yang redup.
Dia bukan sembarangan orang…
Dulu saudagar besar.
Kaya.
Berharta.
Namun bila isteri dan anak-anaknya alpa,
dibisik dunia hingga lupa akhirat —
dia tinggalkan semua.
Lalu menyepi di dusun,
mencari Tuhan sendirian.
Aku cuma mahu belajar.
Tapi bila kulihat dia…
tua, uzur, tiada siapa peduli…
Aku tak sampai hati.
Lalu aku duduk…
aku tinggal bersamanya.
(Tok Muda menunduk, matanya berkaca.)
Kami makan pucuk pegaga,
ubi meranti, jantung pisang,
daun resam, pucuk gajus, buah ara…
Minum air bukit,
lihat ikan seluang, ikan rudu,
berenang di celah batu.
Petangnya kami bakar daun dan rumput,
halau nyamuk dan agas.
Malamnya…
bertemankan pelita dan zikrullah.
Dia mengajar,
aku menadah.
Ilmu mengenal Tuhan.
Dua tahun…
Dua tahun aku belajar,
dan menjaga dia.
Sampai satu malam…
dia pergi.
Aku panggil anak-anaknya.
Mereka datang…
Tapi tiada air mata.
Tiada doa.
Tiada peluk…
hanya ambulans,
dan jenazah… dibawa pergi
seperti bungkusan tiada erti.
(Nada Tok Muda berubah tegas, namun sedih.)
Di tanah kubur…
ada yang menguap.
Ada yang senyum lihat telefon.
Ada yang duduk dalam kereta,
tak sanggup berjemur —
sedang ayah mereka…
disemadikan di situ.
Aku duduk di dusun…
baca Fatihah,
baca Qur’an,
biar roh guruku terang jalannya.
Tapi…
belum habis doaku,
anaknya datang lagi —
"Maaf," katanya,
"Tanah ini dah dijual."
"Ada pembeli."
Maka aku dihalau…
keluar dari dusun itu.
Tanah yang pernah saksi dua jiwa
berkongsi ilmu,
bernafas dengan zikrullah.
(Tok Muda duduk semula. Suaranya perlahan, sarat kerinduan.)
Aku pulang ke Johor…
setahun aku termenung.
Di mana silapnya?
Di mana salahnya orang berilmu?
Mengapa tiada harga
pada mereka yang pernah menyalakan cahaya?
(Hening seketika. Tok Muda memandang ke atas.)
Guru…
Maafkan mereka.
Dan saksikan aku —
Aku akan terus membawa ilmumu.
Moga Tuhan ampunkan kita semua.
(Lampu perlahan-lahan padam. Hanya tinggal suara tasbih bergesel di tangan.)
Dengan penuh kasih dan hormat, kuhadiahkan Al-Fatihah buat arwah guruku yang mulia — Haji Lah — semoga roh beliau ditempatkan bersama para salihin, dan ilmunya terus mengalir meski jasad telah tiada. Al-Fatihah...
Al-Fatihah...;-(
ReplyDelete