3/26/2025

Gurindam Tok Muda Merantau Ilmu

 

Gurindam Tok Muda Merantau Ilmu

Berangkat Tok Muda di dini pagi,
Bukan kerana harta atau janji,
Ditinggal dunia penuh gemerlap,
Dikejar ukhrawi yang lebih mantap.

Tiada harta tiada pusaka,
Cuma azam di dada membara,
Ke mana jua kaki melangkah,
Guru dicari tak kira arah.

Masuk pekan, masuk desa,
Panjat bukit, turun paya,
Rentasi belukar dan rimba hutan,
Selat dilayar, ombak ditentang.

Di mana ilmu dijanji bersemi,
Di situlah Tok Muda jejaki bumi,
Tiada dikira mahalnya harga,
Kerana ilmu tiada ternilai rupa.

Beratus ribu habis dibayar,
Ilmu dicari dengan sabar,
Berpanas hujan tidak mengeluh,
Asal hikmah terpahat teguh.

Ilmu ditadah bukan suka-suka,
Amanah besar bukan senda,
Akan diwaris dengan adabnya,
Dengan fidyah sebagai tertibnya.

Tok Muda tiada kerja tetap,
Hidup bersandar pada kitab,
Anak dan isteri menanti jua,
Perut diisi bukan dengan doa semata.

Fidyah ilmu bukan berniaga,
Tapi bekalan buat keluarga,
Kerana hidup perlu diisi,
Ilmu tak jatuh dari langit berseri.

Namun kini zaman berubah,
Adab menuntut makin goyah,
Ilmu dinilai rendah dan murah,
Ditawar-tawar tiada maruah.

Wahai penuntut fikirlah dalam,
Adab dahulu bukan disamakan,
Jika belum cukup simpan dahulu,
Jangan ditawar macam berniaga sagu.

Tok Muda dahulu menahan rasa,
Duit dikumpul tahun bersisa,
Bila sudah cukup baru berjalan,
Bersama sabar sebagai pedoman.

Jangan kau hitung harga semata,
Tapi nilai hikmah dalam kata,
Ilmu itu cahaya hati,
Yang memberi sinar sampai mati.

Dan bila kaya sudah kau jadi,
Masalah selesai, senang menanti,
Janganlah lupa pada Ilahi,
Yang beri rezeki tiada henti.

Ingat guru, jaga silaturrahim,
Ilmu dijaga sepanjang musim,
Jangan berbangga dengan kejayaan,
Jika putus akar di pertengahan.

Ilmu tak kekal pada yang alpa,
Tak berkat pada yang berdusta,
Hidup berjaya tak bermakna,
Jika hatimu gersang dan hampa.

Gurindam ini buat pedoman,
Buat yang celik dan mahu panduan,
Ilmu bukan mainan lidah,
Tapi amanah yang sungguh megah.

No comments:

Post a Comment